Search This Blog

Wednesday, October 26, 2011

Lambaian cinta Syuhada


LAMBAIAN CINTA SYUHADA

Sudah hampir dua jam Dira mengurungkan diri dalam bilik.Tangisannya masih kedengaran.Tersedu-sedu.Belum pernah Dira menangis seperti itu sebelum ini.Cuaca mendung saat itu  seolah-olah mengerti akan perasaannya.Tapi,kenapa dia menangis? Apa yang terjadi sebenarnya? Umairah bingung.Dia ingin sekali mengetahui masalah apa yang dihadapi oleh Dira.
            Hujan mulai turun dengan lebat.Jam menunjukkan pukul 8.15pm.Selepas menyiapkan makan malam,Umairah menuju ke bilik Dira yang masih berkunci.
            “ Dira.. mari makan.” Perlahan suaranya memanggil Dira sambil mengetuk pintu.
            “ Dira…” Panggilnya lagi.Kedengaran bunyi kunci pintu bilik itu dibuka.Dira muncul dengan air mata yang masih bergenang.Matanya juga kelihatan bengkak.Umairah hanya memberi senyum yang mengandung makna kasihan,lalu memeluk erat sahabatnya itu.
            “Sabarlah,Dira..” Ucapnya. “ Kita makan dulu,ya.” Sambungnya lagi.
Seusai makan malam,Dira dan Umairah mengambil tempat di ruang tamu sambil menghirup milo panas.Umairah sedikit-sedikit menjeling ke arah Dira,berharap Dira akan mula bercerita kepadanya.Tapi lima minit berlalu,suasana masih sunyi.Umairah mula mendekati Dira.
            “Ceritalah padaku.Aku sedia mendengar dan membantumu.” Kata Umairah.Mata Dira Kelihatan berkaca-kaca.
            “Umai,dia sudah punya isteri.” Dia mula bersuara.
“Ternyata orang yang aku harapkan selama ini sudah beristeri,Umai.” Tangisannya semakin kuat.Sekuat angin yang mengikuti hujan malam itu.
            “Aku sedih,Umai.Kenapa aku selalu macam ni?Kenapa aku selalu kecewa disaat aku telah yakin akan kebahagiaan yang akan aku miliki?Aku percaya padanya,Umai.Aku sayang dan cinta padanya dengan jujur.Aku lewati perjalanan cinta ini dengan taqwa.Berdoa.Tapi kenapa pada akhirnya aku kecewa?Aku sedih Umai.Aku dikhianati.” Dira menangis semahunya.Tisu di hadapannya tak henti di tarik.
            “Sabarlah,Dira.Dia bukan jodohmu.Malah bukan yang terbaik untukmu.Kau boleh menangis kerana kecewa.tapi jangan sesekali kau sesali takdirmu.kerana itu adalah kehendak Allah.” Umairah cuba menenangkan gejolak yang sedang menghambat hati sahabatnya itu.
            “Banyakkan istighfar.Kan lebih baik kau mengetahuinya sekarang daripada setelah kau dimadukan.Mungkin ini petunjuk dari Allah kalau dia itu bukan yang sebaik yang kau harapkan.”Sambungnya lagi.
            “Tapi ini bukan pertama atau kedua kali,Umai.Kau juga sudah tahu sudah berapa kali aku mengalami keadaan seperti ini.Aku tak kuat ,Umai.Aku bukan wanita yang kuat dan sabar seperti kau.Mungkin benar aku ini sial,Umai. Sekuat manapun cintaku aku takkan pernah bersama lelaki yang ku cintai itu.” Suara Dira sedikit meninggi.
Umairah mengerti depresi yang sedang dialami oleh sahabat baiknya itu.Sejak Pak Su mengatakan hal itu padanya,dia selalu saja berfikir negative.Padahal itu sama sekali tidak benar.dan Allah sangat melarang hamba-hambaNya untuk mempercayai perkara-perkara kurafat seperti itu.
“Nak Dira,kata orang tua-tua dulu,tak baik anak dara ada tahi lalat kat belakang lengan.Sial.Nanti jodoh tak datang-datang.”
“Ish,Pak Su ni.tak baik tau percaya kurafat.Berdosa.Lagipun zaman sekarang ni tak pakai da ‘kata orang tua-tua’.Kan Umai.”
“Ye lah,Pak Su.Jodoh tu kan ditentukan oleh Tuhan.Bukannya tahi lalat kita.Tapi kata-kata Pak Su tu boleh jadi doa.Doa jodoh tak datang-datang untuk kitaorang.Tak baik tau.” Kata Umairah menolak tanggapan Pak Su.Kopi O panas dituangkan ke dalam gelas Pak Su.
“Pak Su bagitahu je..terpulang koranglah nak percaya ke tidak.Hmmm.”
“Srrrrppp…Ahhhh” Pak Su meneguk kopi O kegemaranya itu dengan penuh nikmat.Rasa dan aroma kopi itu seperti sangat lazat saat menyentuh deria rasanya.Padahal itu hanyalah biji kopi yang digoreng dan ditumbuk sendiri oleh Mak Su untuk dijadikan minuman sehari-hari mereka.Jika dibandingkan dengan Nescafe 3 in 1 seribu kali lipat lebih sedap.Dira dan Umairah hanya memerhati gelagat lelaki berusia lewat 70an itu dengan sedikit ketawa kecil.
Cuti tahunan selama 2 minggu ini dihabiskan di kampung Merbuk Putih tempat Dira dibesarkan.Pak Su adalah adik bongsu ayahnya.Sejak kecil Dira memang rapat dengan Pak Su dan Mak Su.Sementara Umairah baru mengenali mereka.Cuaca hari itu terasa sangat panas.Mereka lebih suka duduk di beranda rumah sambil berborak.Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa melenggak-lenggokan hamparan padi sawah di seberang jalan terasa sedikit menyejukan.
“Faruq tak balik ke,Pak Su?” Tanya Dira.
“Tak.”
“Kenapa? Tak da cuti ke?” Tanyanya lagi.
“Bukan tak da cuti.Tak da duit.” Selamba Pak Su menjawab.Tapi ada makna tersirat.Ya,tak mungkin Faruq boleh balik selalu.Yuran kuliah saja sudah mencapai ribuan ringgit.Buku-buku,makan minum,sewa rumah semuanya memerlukan wang.malah bukan alang-alang jumlahnya.Kalau balik selalu dimana nak dapat wang tambang pesawat.Kuliahnya di China ada 2 semester lagi.
“Da nak masuk asar da ni.Pak Su nak ke masjid dulu ye.”Lelaki tua itu mengatur langkah perlahan meninggalkan mereka.Selepas solat asar Dira mengajak Umairah ke rumah Aisyah,teman baik Dira di kampung itu.Dalam perjalanan mereka bertemu seseorang.
“Assalamualaikum.”Ucapnya kepada mereka.
“Walaikumsalam.” Jawab mereka.Tanpa kata-kata lain,mereka hanya berbalas senyum tanda hormat.
“Itu Zaki.”Kata Dira. “Orang yang pernah aku ceritakan itu.”Sambungnya lagi.Umairah hanya mengangguk dan tersenyum.Dia tahu,orang itu sangat memberi kesan kekecewaan yang mendalam bagi Dira.Kerana itu dia tidak mahu bertanya banyak tentang lelaki itu.
Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh gempal sedang mengendong bayi di beranda rumah.Dira tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu.Kelihatan bahagia sekali.
“Assalamualaikum…” Mereka memberi salam sesampainya di anak tangga rumah.
“Walaikumsalam,sahabatku.”Salam mereka segera disambut oleh Aisyah dengan nada yang sangat mengalu-alukan kedatangan mereka.
“Wah..hebat kau ya.Baru setahun,dah ada penerus wasiat.hehehe.” Dira memuji dalam nada bergurau.
“Biasalah.Orang sihat.Tengok bodylah.hehehe.”Aisyah membalas dengan gurauan yang membuat mereka ketawa.
“Aisyah,ni Umairah.Teman sekerja aku.”Dira memperkenalkan Umairah kepada Aisyah.Mereka saling bersalaman.
“Comelnya bayi ni.Tembam macam maknya.”Umairah mencubit-cubit manja pipi Ahmad Azam.Bayi comel Aisyah yang kini dalam dukungan Dira.
“Bukan saja tembamnya,rambut diapun persis ibunya,Umairah.” Sampuk Dira..Aisyah hanya tersenyum sambil mengusap-usap rambut bayinya yang lebat dan keriting itu.Aisyah kemudian berlalu untuk ke dapur.Beberapa minit kemudian dia muncul dengan membawa teko yang berisi teh hangat bersama sepinggan biskut kering.
“Oh,ya.da berapa lama korang kat sini? Lama ke cuti?” Tanya Aisyah sambil menuangkan teh ke dalam cawan.
“baru dua hari.Kitaorang ambik cuti tahunan.Dua minggu.”Jawab Umairah ringkas.
“Oh.Korang ada jumpa Zaki? Dia da balik..Aku dengar dia mengajar kat kampung ni.” Dira sedikit terkejut mendengar berita yang dikatakan oleh Aisyah itu.Sebenarnya bukan berita kepulangan Zaki yang membuat dia terperanjat.Kerana dia telahpun bertemu dengan Zaki dalam perjalanan tadi.Tapi berita Zaki mengajar di kampung itu.Mengajar? Bermakna Zaki dah jadi cikgu.Macamana boleh?
“Ada.Jumpa kat tengah jalan tadi.Dia dah jadi Cikgu ek.Baguslah kalau macam tu.” Dira cuba berlagak selamba.Tapi fikirannya melayang memikirkan lelaki yang pernah berjanji untuk menikahinya itu 3 tahun lalu.Dulu dia hanyalah seorang kerani biasa di kilang kelapa sawit di kampung itu.Kisah cinta mereka sememangnya telah diketahui oleh warga kampung.Malah anak-anak gadis di kampung itu sempat berasa iri terhadap Dira.
“Selepas tiga tahun hubungan kita,aku akan melamarmu untuk menjadi isteriku.” Kalimat itu masih terpahat utuh dalam kotak fikiran Dira sehingga kini.Dan kalimat itu juga yang sering mengundang butiran air jernih di kelopak matanya.Zaki memang ikhlas mencintai Dira ketika itu.Dan Zaki juga telah menemui keluarga Dira untuk memaklumkan tentang hubungan mereka.Namun belum sampai tiga tahun hubungan mereka,hajat untuk mendirikan sebuah masjid bahagia hancur berderai.Sehancur hati Dira yang bak kaca terhempas ke batu.
“Maafkan aku,Dira.Aku tak bermaksud untuk mengkhianati cintamu.Tapi aku serba salah.Aku ikhlas mencintaimu.Tapi haruskah aku mengingkari kehendak ibu ku demi untuk memenuhi kehendakku?” Pertanyaan yang cukup pedih bagi Dira.
“Katakan padaku,Dira.Aku tak mahu hubungan ini berakhir dengan perasaan yang tidak enak antara kita.Aku sudah berusaha untuk memujuk ibu.Tapi…” Terkandung rasa sesal yang berat dalam ucapan Zaki.Dira juga mengerti.Zaki bukan sengaja untuk memutuskan hubungan ini.Tapi Ketaatannya yang membawa dia ke sini untuk mengungkapkan kata perpisahan.
“Sudahlah.Ikut saja kata ibumu.Tak perlu kau mengingkari kata orang tuamu demi aku.Kalaupun kita bersama tanpa restu orang tua,kita tak mungkin bahagia.Bukankah kebahagiaan rumah tangga itu bergantung pada redhanya orang tua.”
 Air mata Dira tak henti mengalir.Walaupun hatinya sakit tapi dia harus ikhlas.Hari itu cuaca cerah.Ramai orang yang mengunjungi taman petang itu.Tapi baginya hari itu sangat sunyi,sepi,suram dan kelam.Zaki meninggalkannya dengan ucapan salam.Sejak hari itu,Dira tidak pernah bertemu dengan Zaki lagi.Dira membawa diri ke kota dan memulakan kariernya sebagai Designer busana muslimah.Mengenai Zaki,..dia tidak tahu.Sehinggalah hari ini dia mengenalinya semula dengan profesion seorang Guru.
Aisyah dan Umairah banyak bercerita.Tapi satupun tidak didengar oleh Dira.
“Dira..” Aisyah memanggilnya berkali-kali tapi tidak diendahkan.Aisyah dan Umairah saling berpandangan.Umairah menyentuh bahu Dira.
“Kau Ok ke?” Tanyanya
“Of cours.Kenapa?”Tanya Dira kembali.Cuba berlagak selamba,tapi matanya sedikit berkaca.Aisyah dan Umairah sangat maklum akan perasaan sahabat mereka itu.Mereka hanya mampu mendoakan agar Dira tegar untuk melalui kepedihan itu.
Sudah pukul enam petang.Dira dan Umairah meminta diri untuk pulang.Pasti Mak Su sudah menunggu mereka untuk memetik pucuk ubi di belakang rumah untuk dijadikan sayur malam ini.

Dua minggu berlalu.Begitu cepat rasanya hari berganti.Cuti tahunan Dira dan Umairah kini sampai ke penghujung.Umairah melihat jam tangannya.Sudah menunjukkan pukul 7.10am.Selepas bersarapan,mereka meminta izin untuk pergi.Dira mengucup tangan Mak Su yang sudah kelihatan urat-urat tangannya timbul dan kulitnya yang berkerut.Kemudian ibu tua itu dipeluknya erat.Rasa sayang dan cinta terhadap orang tua itu sama seperti cinta dan sayangnya pada kedua orang tua kandungnya.
Umairah memandu Viva hitam itu perlahan-lahan meninggalkan kampung Merbuk Putih.Semasa melintasi sekolah,Dira sempat melontarkan pandangannya kepada susuk tubuh manusia yang amat dirinduinya selama ini.Zaki yang kebetulan berada di tepi pagar sekolah itu juga sempat melirik senyum padanya.
Sepanjang perjalanan terasa sunyi.Dira tidak seperti biasanya yang tak berhenti bercerita di sepanjang perjalanan mereka sebelum ini.Dia lebih banyak diam dan sesekali tersenyum sendiri.Lebih kurang pukul 11am mereka tiba di rumah.
Malam itu kelihatan sangat indah.Mereka duduk di luar rumah sambil menikmati pemandangan yang agak luar biasa di dada langit.Di sebelah kanan langit kelihatan buruj scorpion yang begitu megah bersinar.Bulan separuh penuh pula mengambil tempat di sisi kiri.Bintang-bintang berkelipan kelihatan seperti butir-butir permata yang bertaburan menghiasi hamparan tirai malam.Subhanallah.Maha bijaksananya Dia yang telah mengatur setiap kejadian di muka bumi ini.Rugilah mereka yang tidak mahu berfikir.
“Umairah,apakah aku berdosa memikirkan seseorang yang bukan hak ku?” Tanya Dira tanpa menoleh kepada sahabatnya yang asyik melihat bintang.Umairah segera mengalihkan pandangannya ke arah Dira lalu berkata
“Sesungguhnya haram jika kamu memikirkan seseorang yang bukan muhrim kamu kerana itu boleh termasuk dalam golongan zina.” Suaranya halus tapi nadanya serius.
“Aku tahu siapa yang kau fikirkan itu.Aku juga mengerti perasaanmu saat ini.Perasaan rindu dan sayangmu muncul semula setelah kau menemuinya kembali.Tapi sedarlah Dira,dia bukan milikmu lagi malah mungkin telah menjadi hak mutlak orang lain.Jangan kau fikirkan tentangnya lagi.Kerana fikiran-fikiran seperti itu merupakan maksiat kepada Allah.” Penjelasan yang amat tajam dilontarkan Umairah bagi menyedarkan sahabatnya itu dari terus hanyut.
“ Astaghfirullah..” Dira segera mengucap.Dia sedar akan khilafnya itu.
“Maafkan aku Umairah.aku telah lalai.”Sambungnya dengan nada sesal.
“Minta ampunlah kepada Allah.Sudah,mari kita masuk.”

Hari ini merupakan hari pertama mereka masuk kerja semula setelah 2 minggu bercuti.Masing masing mengenakan blaous lengan panjang berwarna merah hati,dipadankan dengan seluar panjang hitam.Dira mengenakan tudung berwarna hitam manakala Umairah memilih untuk menggunakan warna putih.Setibanya di ruang pejabat mereka disapa oleh Syila,gadis bertubuh imut yang juga salah satu pekerja di situ.
“ Wah,ceria nampak.mentang-mentanglah dah cuti panjang.Jumpa buah hati la tu.” Dira dan Umairah hanya ketawa kecil.
Disatu sudut ruangan itu,Adam berdiri sambil memerhatikan Dira.Terasa hatinya begitu rindu pada gadis berkulit hitam manis itu.Sudah lama dia mengagumi keanggunannya sehingga dia sudah jatuh hati padanya.Dua minggu selepas dia menyatakan cintanya,dia mengetahui bahawa Dira kini sedang menyulam cinta bersama seorang doktor.Pantas saja Dira tidak pernah memberikan balasan seperti apa yang dia harapkan selama ini.Ternyata Dira lebih suka memilih bintang di langit daripada mutiara yang tenggelam di dasar lautan.
            Tapi Dira silap.Bintang yang dipuja dan disanjungnya itu bukanlah bintang yang dapat menyinari hidupnya.Bintang yang dapat berkelip indah menghiasi tirai malam kehidupannya.Yang dia harap dapat menerangi kelam gelita di hatinya.
            “ Aku mencintaimu,Dira.Aku mahu melamarmu untuk menjadi isteriku.” Doktor Hisyam menyatakan hasratnya saat mereka bertemu di restoran malam itu.Hati Dira terasa berbunga-bunga saat mendengar ucapan itu.Kebahagiaan yang diimpikannya kini hadir.Hati wanita mana yang tidak berbunga jika dilamar oleh lelaki yang dicintai? Hati wanita mana yang tidak merasa bahagia jika mengetahui akan menjadi seorang isteri kepada lelaki yang dicintai?
            Tapi entah kenapa terasa hati Dira masih berat untuk memaklumkan kepada ibu bapanya tentang lamaran tersebut.Seperti ada sesuatu yang menghalang.
“ Sejak dua hari ni aku tengok kau tidak ceria seperti biasa.Pasti ada sesuatu yang telah mengganggu fikiranmu.” Umairah cuba menyelami perasaan sahabatnya itu ketika mereka sedang makan tengahari di restoran berdekatan pejabat.
“ Dua hari yang lalu,Doktor Hisyam menyatakan hasratnya ingin melamarku.Minggu depan dia akan menghantar rombongan untuk menemui keluargaku.” Dira cuba menjelaskan.
“ Wah...Syaqara ya sahib.Itu satu berita yang menggembirakan.” Umairah menggenggam tangan Dira.Dia turut merasa gembira dengan kenyataan itu.Namun dilihatnya wajah Dira tidak menampakkan kegembiraannya.
“ Tapi kenapa kau kelihatan sedih? ”
“ Entahlah,Umai.Terus terang,hati aku masih ragu untuk menerima lamaran itu.Malah sampai sekarang aku belum memberitahu keluargaku.”
“ Ya Allah,Dira.Apa yang membuatmu  ragu?” Tanya Umairah dengan nada sedikit cemas.Dira hanya menggeleng.
“ Istiqarahlah,Dira.Mohon petunjuk-Nya.Agar semua kekusutan yang mengganggumu itu dapat dileraikan.Semua yang kabur itu dapat diterangkan.” Saran Umairah.Sahabat yang sentiasa memberinya inspirasi di setiap suka dan duka.
Pagi itu,telefon bimbitnya berdering.Dia segera mencapai telefon di tepi mejanya.
            “ Assalamualaikum.”
            “ Walaikumsalam.” Suara seorang wanita.
            “ Ni Dira ke?” Tanya wanita itu.
            “ Ya.Saya Dira.” Jawabnya.
            “ Cik Dira,saya isteri doktor Hisyam.Dia itu suami saya.Jadi tolong jangan ganggu dia lagi! ” Tegas wanita itu.
Tersentak dada Dira mendengar pengakuan wanita itu.Jantungnya seperti berhenti berdegup.Dia tidak dapat berkata apa-apa.Telefon dimatikan.Air matanya tak dapat ditahan lagi.Lalu dibiarkan tumpah membasahi pipi.
            “ Astaghfirullahalazim.Dugaan seperti apa ini ya Tuhan.” Seluruh tubuhnya dirasakan menggeletar.Sendi-sendinya begitu lemah.Hatinya begitu sakit bagai di hiris-hiris belatih tajam.Sehingga dia tidak dapat menahan lalu berlari keluar meninggalkan pejabat.Umairah membontoti.Dia tahu pasti sahabatnya itu sangat membutuhkannya saat itu.Umairah membawa Dira ke taman.Tidak mahu bertanya apa-apa.Dira memeluknya erat.Dia hanya membiarkan Dira menumpahkan kesedihanya semahu-mahunya.Malam itu Dira menceritakan segala-galanya kepada Umairah dengan linangan air mata.
            “ Aku benar-benar tidak menyangka doktor Hisyam itu jahat.Penipu.” Amarahnya semakin melonjak.
            “ Sabar,Dira.Jangan berperasangka buruk dulu.Mungkin saja wanita itu yang berbohong.Lelaki tampan dan bekerjaya seperti doktor Hisyam itu pasti ramai yang ingin merebutnya.Lebih baik kau temui doktor Hisyam dan tanyakan yang sesungguhnya.” Kata Umairah cuba menenangkan hati Dira yang kini semakin dikuasai amarah.
            Keesokan hari Dira menemui dokor Hisyam di restoran yang sama semasa lelaki itu melamarnya.
            “ Abang..berkatalah dengan jujur.Benarkah abang sudah mempunyai isteri?” Soal Dira.Dia cuba menahan air mata yang bergenang di kelopak matanya dari jatuh ke bumi.Dalam hati dia mengharapkan jawaban yang akan keluar dari mulut doctor Hisyam adalah sebaliknya.Doktor Hisyam menatap mata Dira dalam-dalam.Kemudian tunduk dan berkata
            “ Maafkan abang,Dira.abang tidak berlaku jujur kepadamu.” Rasanya dia tidak sanggup untuk menatap wajah wanita tulus di hadapannya itu.Luluh hati Dira mendengarkan jawaban doctor Hisyam.
            “ Mengapa abang sanggup melakukan ini pada Dira? Abang menipu Dira.” Dira mula menangis.Air matanya tak dapat ditahan lagi.
            “ Abang telah menghancurkan kepercayaan dan harapan Dira pada abang.ketulusan cinta dan kasih Dira selama ini tidak bermaknakah pada abang? Sehinga abang sanggup mempermainkan perasaan Dira?” Sambungnya lagi.
            “ Demi Allah,Abang mencintaimu,Dira.Abang tak berterus terang kerana abang tak mahu Dira kecewa.”
            “ Abang fikir mencintai Dira dengan kebohongan tidak akan mengecewakan Dira? Tidak akan menyakiti Dira? Dira kecewa abang.Dira sangat sakit.Bukan kerana Dira terpaksa melepaskan abang,tapi kerana sikap abang yang tidak jujur pada Dira.” Saat itu Dira benar-benar melempiaskan rasa kesalnya terhadap lelaki berwajah tampan di hadapannya itu.Tapi sayang sifatnya tidak setampan dirinya.
            “ Maafkan abang Dira…” Hanya itu yang bisa diungkapkan doktor Hisyam.Sesungguhnya dia juga sangat kesal dengan apa yang terjadi.
“ Kejujuran adalah tunggak utama dalam keutuhan sebuah hubungan.Walau hanya secebis kebohongan yang diselitkan dalam hubungan itu,ia takkan bisa bertahan lama.” Tegas kata-kata itu keluar dari mulut Dira.
“Dan satu hal lagi yang harus abang ingat.Isteri adalah untuk disayangi,dikasihi dan dilindungi zahir dan batinnya.Bukan untuk disakiti dan khianati.Kerana isteri adalah amanah Allah kepada seorang suami.” Dira menghapus air  mata yang masih tersisa di pipinya.
“Semoga Allah mengampuni kita.Assalamualaikum.” Itulah kata-kata akhir yang diucapkannya.Dira segera mengatur langkahnya meninggalkan tempat itu.Dia tidak mahu lagi mendengar apapun kata-kata dari doktor Hisyam.Saat itu juga dia tidak mahu lagi mengingat apapun tentang Doktor Hisyam.Termasuk akan memadamkan wajah lelaki yang amat dicintainya itu dari kotak fikiran dan jiwanya.Kerana lelaki itu tidak akan pernah menjadi haknya.
Hembusan angin malam itu terasa sungguh menyamankan.Pandanganya dilontarkan jauh ke hadapan.walau yang kelihatan itu hanyalah kegelapan malam.Dira menarik nafas panjang dan dalam.Kemudian menghembuskanya perlahan.Terasa fikiranya menjadi ringan.Ketegangan dalam kepalanya sedikit melonggar.Dira memandang ke langit kelam.Hatinya bersuara.
“ Ya Allah,Aku adalah hamba-Mu yang paling lemah.Aku larut dalam kekecewaanku sehingga aku menyesali takdir-Mu.Ampunilah aku.Ya Tuhanku,Engkau mendengar segala bisikan hatiku.Aku memohon,agar Engkau mengurniakan aku pasangan yang terbaik untukku,agamaku dan masa depanku.yang akan menjadi suamiku untuk aku berbakti kepadanya dan mencari redha-Mu ya Allah.Amin.” Air matanya menitis.
Seketika kemudian Umairah muncul dengan membawa dua cawan milo panas.
“ Jauh mengelamun.Apa yang sedang kau fikirkan?” Tanya Umairah.
Dira tersenyum.
“ Kadang-kadang hidup ini terlalu berat untuk dijalani.Walau setelah kita berusaha dan berdoa,tapi kebahagiaan itu masih tidak mungkin untuk bersama kita.”
Umairah lantas menyambung
“ Meskipun kebahagiaan yang kita impikan itu belum bersama kita,walau setelah berdoa dan berusaha,jangan merasa terlalu kecewa.Kerana Allah telah mengatur semuanya.Mungkin kesabaran kita sedang diuji sebelum kita diberi nikmat yang sebesar-besarnya.Iringi usaha dan doa kita itu dengan tawakkal kepada-Nya.Supaya kita tidak merasa terlalu kecewa dengan kegagalan.Dan jangan pula pernah berputus asa pada rahmat tuhan.” Ucapan Umairah sangat mengesankan dalam jiwa yang mendengarkan.Umairah menggenggam erat tangan Dira.
“Sabarlah Dira.Suatu hari nanti pasti ada yang akan menyambut lambaian cinta Dira Syuhada.” Mereka saling berpandangan dan tersnyum.



Hasil karya minda : Suriana @ ana
Email    : Pu3ku_hana@yahoo.com.my

No comments:

Post a Comment